1:55 PTG

Pesan Dr. Abdul Karim Zaidan Kepada Pejuang Islam

Dicatat oleh Badan Dakwah @ Kempimpinan Remaja Islam (BAKRIS)

Oleh: Imran al-Malizi
BINGKISAN DARI YAMAN


Beberapa bulan yang lalu, saya diberitahu bahawa beliau sedang sakit tenat dan enggan menerima tetamu. Beliau memerlukan rehat yang secukupnya lantaran faktor kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Pada hari Selasa, 21 Julai 2009, kami diberi kesempatan untuk menziarahi guru kami, Dr. Abdul Karim Zaidan, seorang ulama yang berasal dari Iraq dan sangat dikenali di peringkat antarabangsa. Keluasan ilmunya membuatkan pandangan-pandangan beliau sentiasa diperlukan bagi menjawab persoalan-persoalan semasa yang berkaitan dengan Islam.

Kitab-kitab karangannya telah digunakan sebagai teks usrah semenjak sekian lama. Malah beberapa kitab karangannya juga digunakan sebagai sukatan pelajaran di kebanyakan universiti. Di antara karyanya yang masyhur ialah Usul al-Da’wah, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, al-Wajiz fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, Nizhom al-Qadha’, al-Mufasshal dan banyak lagi.

Dr. Abdul Karim Zaidan sangat cintakan ilmu dan bersungguh-sungguh dalam menunaikan amanah dengan menyampaikan ilmu pengetahuan dan mendidik generasi umat ini. Beliau pernah berkata, “Aku sangat mengharapkan agar aku mati dalam keadaan sedang mengajar..”

Selepas solat Maghrib di Masjid Abu Bakar as-Siddiq di Hadda, kami berjalan kaki lebih kurang 5 minit ke kediaman Dr. Abdul Karim Zaidan. Kami disambut oleh anak lelakinya yang bernama Mohammed. Tidak lama menunggu di ruang tamu, Dr. Abdul Karim Zaidan muncul dengan dipapah oleh Mohammed.

Begitulah keadaannya ketika mengajar di dewan-dewan kuliah, walaupun dalam keadaan susah dan hampir tidak mampu untuk berjalan lagi, beliau tetap hadir demi menyampaikan ilmu. Usianya yang sudah mencecah 92 tahun tidak menghalangnya daripada terus menyumbangkan jasa kepada Islam.

Kami sangat bertuah kerana pertemuan pada malam itu dibuat sebelum beliau bertolak ke luar negara untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan menziarahi kaum kerabatnya di sana. Kemungkinan beliau akan pulang semula ke Yaman selepas beberapa minggu.

Dalam pertemuan ini, Dr. Abdul Karim Zaidan telah sudi untuk menjawab beberapa persoalan yang kami kemukakan khusus mengenai perkembangan politik Islam di Malaysia.

Berbicara tentang tahaluf siyasi iaitu perjanjian atau persepakatan politik, PAS telah pun bekerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain dan berjaya menguasai beberapa buah negeri dalam pilihanraya ke-12 yang lalu. Kerjasama ini kemudiannya disebut sebagai Pakatan Rakyat. Mungkin ramai lagi yang masih keliru tentang istilah tahaluf siyasi ini dan kurang pasti apakah matlamatnya dan di manakah batas-batas dan garis sempadannya?

Bagi menjelaskan perkara ini, Dr. Abdul Karim Zaidan berkata, “Ianya (tahaluf siyasi) tidak dilakukan secara mutlak, hanya digunakan bagi mencapai matlamat tertentu. Matlamat ini mestilah perkara yang dibenarkan oleh syarak. Sebagai contoh, Nabi s.a.w membuat perjanjian dengan kaum Yahudi di Madinah dengan matlamat tertentu, contohnya mereka tidak boleh memerangi kaum Muslimin dan sebagainya. Begitulah juga bagi PAS dan parti yang bukan Islam.. (kerjasama ini) hanya bagi mencapai suatu matlamat tertentu.”

Tambah beliau lagi, “Sebagai contohnya, jika golongan sekular mahu menetapkan satu sistem pendidikan yang tidak menepati Islam, maka kamu jangan menerima dan bersetuju dalam perkara ini. Maksudnya, tahaluf siyasi ini dibenarkan dalam perkara yang tidak bercanggah dengan Islam.”

“Jika PAS bekerjasama dengan parti-parti pembangkang bagi mencapai matlamat yang menepati Islam dan syarak, ianya dibolehkan,” ujarnya.

Dengan syarat-syarat ini, maka kerjasama PAS dengan pihak-pihak lain hanyalah dibenarkan dalam mencapai matlamat tertentu yang menepati kehendak Islam, demi menegakkan keadilan yang menyeluruh, menolak kezaliman dan sebagainya. Selagi mana mereka bersetuju dengan prinsip-prinsip Islam yang diperjuangkan oleh PAS, maka kerjasama ini hendaklah diteruskan dalam perkara-perkara yang dipersetujui bersama.

Berkenaan dengan kewajipan bersama dengan perjuangan Islam, kata Dr. Abdul Karim Zaidan, “Parti Islam mesti dianggotai oleh semua orang-orang Islam. Mereka mesti meminta pandangan para ulama dalam semua perkara yang hendak dilakukan.”

Menyentuh tentang kepimpinan dalam satu jemaah yang memperjuangkan Islam pula, beliau menjelaskan, “Yang layak menjadi pemimpin ialah seorang alim dan faqih (ulama) pada waktu itu, jika tiada maka boleh dipertimbangkan orang yang memiliki ilmu yang mencukupi dan dia dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan memiliki keperibadian yang baik. Dia mesti mendapatkan pandangan para ulama untuk membuat apa-apa keputusan.”

Menjawab persoalan adakah pandangan pemimpin jemaah wajib diikuti dan adakah boleh berlaku perbezaan pandangan dalam satu jemaah Islam, Dr. Abdul Karim Zaidan lebih suka mengatakan bahawa syura adalah satu kemestian bagi pimpinan jemaah Islam.

Katanya, “Asal hukum dalam Islam, bagi jemaah yang dipimpin oleh seorang ketua, dia mesti bermesyuarat dengan mereka (Majlis Syura). Apabila sudah menjadi ketetapan yang disepakati bersama, maka keputusan itu dilaksanakan. Orang-orang lain yang berada di dalam jemaah tidak boleh bertelingkah dan hendaklah berpegang dengan keputusan itu.”

Akhir sekali Dr. Abdul Karim Zaidan memberi pesanan kepada para pemuda-pemudi Islam. Katanya, “Nasihat saya kepada golongan pemuda dan pemudi Islam, supaya bertakwa kepada Allah. Kerana Allah memerintahkan Nabi s.a.w supaya bertakwa kepadaNya. Syarat-syarat bertakwa kepada Allah ialah melaksanakan perintah-perintahNy a dan berhenti daripada melakukan segala laranganNya.”

Katanya lagi, “Kamu mesti mempelajari ilmu agama dengan ikhlas kepada Allah Ta’ala dan bertujuan untuk beribadat kepadaNya. Untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala. Firman Allah, “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian Itulah agama yang lurus.” (Surah al-Bayyinah: 5).

Sesungguhnya bagi Dr. Abdul Karim Zaidan sendiri, beliau sangat arif dan telah menempuh banyak pengalaman pahit dan manis dalam memperjuangkan Islam.

Maka itu bagi para pejuang Islam, beliau sangat menekan kedua-dua pesanan ini dalam mengharungi perjuangan. Iaitu hendaklah bertakwa kepada Allah S.W.T dan mengikhlaskan diri dalam segala amalan kita.

Allah S.W.T akan memberikan pertolongan kepada orang-orang yang bertakwa dan hanya menerima amalan-amalan yang dilakukan dengan ikhlas. Dengan ini, kita akan dapat menghadapi segala cabaran dan halangan dengan penuh kesabaran.

Beliau juga mendoakan kesejahteraan orang-orang yang memperjuangkan agama Allah, “Kita memohon agar Allah mempertahankan orang-orang yang beriman, semoga Allah mempertahankan dan memelihara kamu, semoga Allah membalas kembali perbuatan orang-orang yang melakukan kejahatan. Allah Maha Berkuasa mengatasi mereka. Semoga Allah menerima daripada kamu sebaik-baik amalan. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Pengampun ” Amin.


Dipetik daripada blog Sdr. Mohd Luqman (Pengerusi BAKRIS)

2:57 PG

IKHTILAT: Suatu Penelitian

Dicatat oleh Badan Dakwah @ Kempimpinan Remaja Islam (BAKRIS)


Kertas Kerja Seminar Aurat
PENJELASAN HUKUM AL-IKHTILAT
LELAKI DAN PEREMPUAN KONTEMPORARI
Oleh :


Ust. Mohd Azhar bin Abdullah
Jabatan Dakwah Wal Qiadah
Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)



“ Polimek keruntuhan moral manusia menjadi satu isu yang tidak pernah surut. Kemelut dan keruntuhan ini diwar-warkan oleh agen musuh Islam melalui pelbagai saluran komunikasi yang akhirnya mengheret umat Islam di satu tebing kehancuran pergaulan diantara lelaki dan perempuan tidak dibatasi oleh nilai-nilai Islam yang mereka anuti. Tulisan ini cuba memanufestasikan semula pergaulan dua jantina ini menurut perspektif Islam “


Al-IKHTILAT MENURUT
PERSPEKTIF SYARAK


1.2 Maksud Pergaulan ( al-Ikhtilat )
Pergaulan mengikut pertuturan melayu merujuk perihal bergaul atau bercampur. Dalam hubungan sesame manusia ianya mencakupi aktiviti social seperti perkenalan, berbaik-baik dan bersahabat ( Kamus Dewan : 357 ). Dalam bahasa Arab, perkataan pergaulan sinonim dengan Ikhtilat ( Dr. Ibrahim, Mu`jam al-Wasit :1/250 ). Tetapi tradisi penulisan ulama silam (salaf), mereka amat jarang mengunakan perkataan Ikhtilat untuk menanggapi suatu pertemuan sosial. Mereka biasanya menggunakan perkataan Liqa` ( pertemuan), Musyarakah (penyertaan) dan Ijtima` (perjumpaan) atau untuk mengkhususkan percampuran yang dicela, ulama akan terus memakai istilah Khalwat. Kita kerap kali menemui perkataan Ikhtilat dalam penulisan ulama mutakhir ini.


Muhammad Ahmad Ismail al-Muqaddam ( Awdah al-Hijab : 3/52) menta`rifkan Ikhtilat sebagai;


هو إجتماع الرجل بالامرأة ليست بمحرم له اجتماعا يؤدى إلى ريبة, أو اجتماع الرجل بالنساء غير المحارم فى مكان واحد يمكنهم فيه الاتصال فيما بينهم بالنظرة أو الكلام أو البدن أو من غير حائل أو مانع يدفع الريبة والفساد.


Maksudnya :” Ialah perhimpunan lelaki dan wanita yang bukan mahram baginya yang mana perhimpunan tersebut membawa prasangka, atau perhimpunan lelaki dan wanita yang bukan mahram di satu tempat yang memungkinkan interaksi di kalangan mereka dengan pandang memandang atau isyarat atau perkataan atau jasad tanpa dinding atau tanpa penghalang yang mampu menolak prasangka dan kerosakan “.

Dr. Yusof al-Qardhawi (Fatwa Mu`asirah : 2/279) menegaskan bahawa istilah ikhtilatadalah asing di dalam kamus Islam dan ianya baru di pakai dalam penulisan ulama sekarang. Kemasukkan istilah ikhtilat ini di dalam dunia Islam menunjukan penyertaan pengaruh-pengaruh asing dalam menentukan istilah itu sendiri dan ini ada kaitannya dengan perubahan sosio-budaya umat Islam yang diwarnai corak pergaulan barat.


1.3 Hukum Asal Pergaulan antara Lelaki dan Perempuan.

Hukum asal pergaulan diantara lelaki dan perempuan adalah haram ( Abd al-Karim az-Zaidan, al-Mufassal fi al-Ahkam al-Mar`ah: 3/422 ), tetapi jika diteliti di dalam al-Quran atau as-Sunnah, kita tidak akan menemui dalilnya secara khusus.
Dr. Anisah Ghani ( Batasan Pergaulan :2 ) memetik;

“ Hukum asal pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabiyyah adalah haram, namum demikian pengharaman ini tidak didasarkan kepada nas yang soreh (jelas), kerana ketiadaan nas yang soreh mengenai kes ini. Pengharamannya hanya diasaskan kepada hukum yang lain yang asalnya dikhususkan bagi kaum wanita, kerana di dalam hukum-hakam terbabit terdapat unsure-unsur pergaulan diantara wanita dan lelaki “.


Namun kita dapat mengali hukum mengenai pergaulan diantara lelaki dan perempuan daripada dalil-dalil yang banyak sejauh yang bersangkutan dengan hubungan kedua jantina ini;


1.3.1 Larangan Musafir dan Berkhalwat
Rasulullah s.a.w bersabda;


لا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم ولا يدخل عليها رجل إلا ومعها محرم

Maksudnya :” Janganlah Musafir seorang wanita melainkan bersamanya mahram dan janganlah masuk seorang lelaki ( dalam rumahnya ) melainkan bersama mahramnya “. ( Mutafaqun Alaihi ).


Hadith di atas memberi petunjuk yang jelas kepada larangan pergaulan lelaki dan perempuan iaitu menegah mana-mana wanita yang musafir lebih daripada dua marhalah kecuali ditemani oleh mahramnya. Kemudian Rasulullah s.a.w menyambung pula hukum larangan musafir itu dengan larangan berkhalwat atau masuk ke dalam rumah seorang wanita tanpa mahramnya.

1.3.2 Tiada Galakan Solat Berjamaah di Masjid

Rasulullah s.a.w bersabda;


لا تمنعوا النساء أن يخرجن إلى المساجد وبيوتهن خير لهن

Maksudnya :” Janganlah kamu menegah perempuan keluar untuk pergi ke masjid dan rumah-rumah mereka adalah lebih baik untuk mereka “. (Sahih, Riwayat Ahmad ).


Hadith di atas menunjukan dengan jelas perkaitan sebab-musabab wanita tidak di galakkan untuk hadir ke masjid atau untuk turut serta berjamaah bersama kaum lelaki dan tidaklah boleh seseorang menghalang wanita jika mereka ingin pergi ke masjid dengan nas yang jelas daripada hadis di atas ini, dan bagi yang telah berkahwin mereka hendaklah meminta keizinan daripada suami terlebih dahulu untuk perkara tersebut. Dan tempat yang terbaik bagi wanita solat adalah dirumah rumah mereka.

1.3.3 Pengecualian Solat Jumaat
Antara hujah para Fuqaha` memetik sumber pengharaman pergaulan ini ialah pengecualian wanita merdeka daripada solat jumaat. Sabda Rasulullah s.a.w :
الجمعة حق واجب على كل مسلم في جماعة إلا أربعة عبد مملوك أو امرأة أو صبي أو مريض
Maksudnya :” Solat Jumaat adalah hak yang diwajibkan keatas setiap orang Islam kecuali empat : Hamba sahaya, wanita, kanak-kanak dan orang yang sakit “. ( Sahih, Riwayat Abu Daud ).


Imam An-Nawawi mengulas tentang hadis ini ( Majmu` : 4/350 ) :
“ Makruh jika kehadiran wanita mengundang fitnah dan kehadirannya amat tidak digalakkan jika ianya masih muda dan menarik perhatian. Tetapi, jika unsur yang bolah menarik kepada fitnah itu dalam darjah yang berkurangan seperti perempuan tua, maka di sunatkan baginya untuk hadir sama “.

1.3.4 Larangan Berjalan Beriringan
Hukum pergaulan antara lelaki dan wanita juga dapat dipetik daripada larangan Rasulullah s.a.w terhadap perbuatan berjalan di jalanan secara beriringan. Sabda Rasulullah s.a.w :


أنه سمع رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول وهو خارج من المسجد فاختلط الرجال مع النساء في الطريق فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم للنساء " استأخرن فإنه ليس لكن أن تحققن ( أي ليس لكن أن تسرن وسطها ) الطريق عليكن بحافات الطريق
Maksudnya :” Bahawa sesungguhnyan ia mendengar daripada Rasulullah s.a.w bersabda sedang ia keluar dari masjid. Lalu bergaul lelaki dan wanita di jalanan, maka sabda Rasulullah s.a.w bersabda kepada golongan wanita : kemudiankanlah ( jarak kedudukan ) kamu. Sesungguhnya bukanlah untuk kamu ( wanita ) di tengah-tengah jalan, bagi kamu ialah di bahagian bahu-bahu jalan “. ( Hasan, Riwayat Abu Daud ).


Perintah Rasulullah s.a.w kepada golongan wanita supaya memilih bahu-bahu dan tepi jalan dan jangan berjalan dibahagian tengah jalan supaya tidak bercampur dengan kaum lelaki adalah merupakan isyarat haramnya percampuran lelaki dengan perempuan ketika tiada hajat dan keperluan.
Ringkasanya, meskipun tidak terdapat nas yang jelas mengenainya, ini tidak bermakna hukumnya di abaikan oleh Syarak. Hal ini juga memberi ingatan kaedah al-Asl fi asyya` mubah ( asal kepada sesuatu adalah harus ) tidak boleh digunakan di dalam masalah ini kerana perkaitan dalil yang dijadikan hujah menunjukan kepada pengharaman.


Namum Abdul al-Halim Abu al-Syaaqah ( Tahrir al-Mar`ah : 3/47,48 ) telah mengemukakan hujah-hujah bagi mengenepikan pendapat para Fuqaha` yang mengatakan bahawa hukum asalnya adalah Haram. Beliau menegaskan bahawa hukum asal pergaulan adalah Harus sahaja :
“ Jika kita berpendapat hukum pergaulan adalah harus ketika keperluan sahaja, maka kita sebenarnya mengolongkan perkara ini sama dengan perkara-perkara yang diharuskan ketika darurat. Hal ini, suatu ketetapan yang tidak bersandarkan kepada dalil daripada kitab mahupun sunnah “.


Di samping itu beliau juga menerapkan rasa bimbang mengenai bahaya hukum haram dalam masalah ini akan menyempitkan urusan yang asalnya diluaskan. Sedangkan konsep perkara harus ialah memberi kemudahan kepada mukhallaf melakukan aktiviti tersebut bila-bila masa dengan lapang tanpa ikatan keperluan syarak. Tambahan pula, sesuatu yang harus tidak di soal pelakunya akan sebab melakukannya atau meninggalkannya.

1.4 Maksud Khalwat dan Hukumnya
Sebelum dikupas batasan pergaulan, penulis ingin menyentuh terlebih dahulu situasi khalwat serta hukumnya supaya kita benar-benar memahami skop pergaulan seperti yang dimaksudkan penulis. Khalwat dari sudut bahasa ialah bersendiri. Istilahnya adalah lelaki bersama wanita ajnabiyyah di suatu tempat yang tertutup dari pandangan. ( `Atiyyah Saqar,Ahsan al-Kalam fi Fatawa :3/336,337 ).


Walaupun maksud kepada istilah yang diberikan oleh ulama sudah cukup dijadikan fakta untuk memahami situasi khalwat, tetapi memanjangkan pengistiharannya dalam konteks kepelbagaian bentuk-bentuknya tidak mudah diduga. ( `Atiyyah Saqar : Ibid ) merakamkan pergaulan boleh dianggap berlaku khalwat seperti berikut :

1- Keadaan berdua-duaan antara seorang lelaki dan seorang wanita sahaja. Hukum dalam masalah ini ialah haram. Jika antara keduanya sah berkahwin, tetapi jika lelaki tersebut adalah suami atau mahramnya hukumnya adalah harus.

2- Berlangsung dikalangan tiga orang. Situasi ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama khalwat tersebut berlaku diantara seorang wanita dan dua lelaki, hukum masalah ini adalah haram kecuali jika salah satu daripada keduanya adalah mahram kepada wanita tersebut.
Situasi kedua khalwat berbentuk antara dua perempuan dengan seorang lelaki, hukum khalwat dalam situasi kedua ini juga adalah harus jika lelaki tersebut mahram atau suami kepada salah seorang perempuan tersebut.
Hal ini juga menjadi haram jika dilakukan bertujuan maksiat dan dosa seperti dating dikalangan muda-mudi. Tetapi seandainya lelaki itu ajnabi kepada keduanya, `Ayiyyah Saqar memindahkan perkara ini kepada khilaf dikalangan ulama mengenai penetapan hukum ini. Satu pendapat mengharamkan dan satu pendapat mengharuskan dan beliau menyandarkan hukum harus satu lelaki dengan dua wanita ajnabiyyah berkhalwat kepada an-Nawawi dan al-Syarbini daripada aliran mazhab syafie.

3- Pertemuan berlangsung di tempat yang tertutup tetapi terdapat 4 orang atau lebih sama ada bilangan sama banyak atau sebaliknya. Hukum dalam masalah ini adalah harus jika aman daripada fitnah.

4- Sebahagian ulama berpendapat hukumnya makruh seorang lelaki muda berkhalwat dengan perempuan yang sangat tua. Begitu juga terdapat perselisihan pada hukum perempuan muda berkhalwat dengan lelaki yang sangat tua, iaitu sebahagian ulama berpendapat hukumnya adalah haram, manakala sebahagian lagi berpendapat hukumnya adalah makruh.


Dipetik daripada blog Sdr.Mohd Imran Radzi (Setiausaha BAKRIS)